KUCHING: Kerajaan Sarawak bercadang menggunakan ekonomi baharu berteraskan kekuatan Sarawak bagi menyumbang kekuatan ekonomi negara.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berikutan itu berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi persetujuan terhadap cadangan Sarawak.
“Apabila saya mencadangkan sesuatu perubahan dan pendekatan ekonomi baharu, jawapan beliau (Perdana Menteri) senang sahaja, okay dan setuju,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Bersama Perdana Menteri Peringkat Sarawak di Stadium Perpaduan Petra Jaya, Kuching, hari ini.
Majlis dihadiri turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof, menteri-menteri kabinet negeri dan persekutuan.
Abang Johari sehubungan itu berkata, hubungan erat antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan akan memacu kemajuan dan pembangunan di negeri ini.
Katanya, apa yang penting ketika ini ialah keteguhan ekonomi negara pimpinan yang mantap oleh Datuk Seri Anwar.
“Sebentar tadi kami mengadakan perbincangan dan apabila Sarawak mencadangkan sesuatu perubahan atau pendekatan baharu dalam ekonomi, Datuk Seri Anwar sentiasa memberikan persetujuan dan sokongan,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh daripada tetamu terdiri daripada pelbagai kaum di negeri ini.
Jelasnya, kejayaan dikecapi Sarawak bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya hasil perpaduan masyarakat serta kestabilan politik yang membolehkan kerajaan menumpukan terhadap pembangunan dan penerokaan ekonomi baharu.
Turut hadir, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian; Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Dato Awang Bemee Awang Ali Basah; Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar; barisan Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta menteri-menteri kabinet negeri dan persekutuan.
