Rancang perluaskan program advokasi, kekeluargaan di luar bandar

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merancang untuk memperluas pelaksanaan program berbentuk advokasi dan kekeluargaan di luar bandar yang dilihat masih ketinggalan dari segi akses maklumat serta perkhidmatan kerajaan.

Menurut Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri, keperluan memperhebat program sebegini penting bagi membantu masyarakat luar bandar, terutamanya ibu bapa, memahami pendekatan menangani isu semasa serta mengenali inisiatif kerajaan yang boleh dimanfaatkan.

“Kita lihat kawasan luar bandar masih perlukan suntikan maklumat dan sokongan yang lebih besar.

“Justeru, kita akan memperbanyakkan penganjuran program yang membantu mereka memahami cara menangani cabaran keluarga serta pendedahan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Tamah Aidilfitri KPWKM yang berlangsung di Wisma SABATI, di sini, hari ini.

Tambah beliau, pelaksanaan program itu kelak akan melibatkan kerjasama rentas kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan pendekatannya lebih menyeluruh dan sampai kepada sasaran.

Antara yang akan diberi tumpuan ialah aspek kecerdasan buatan (AI) dan media sosial, yang kini semakin relevan dalam kehidupan seharian.

Majlis tersebut turut menyaksikan kehadiran lebih 5,000 tetamu dari pelbagai kumpulan sasar.

Majlis berkenaan diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Ja’afar, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menteri-menteri kabinet negeri dan persekutuan.