CENTEXS bantu Sarawak hadapi cabaran penuaan

MUKAH: Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) memainkan peranan signifikan membantu Sarawak mendepani cabaran sebagai negeri penuaan menjelang 2028.

Ini melalui pelaksanakan program Certificate in Training for Elderly Caregivers (TREC) bertujuan melatih individu dalam pelbagai bidang kemahiran untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak & Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah.

Katanya, langkah persediaan itu penting untuk mengatasi cabaran ini dengan memperkukuhkan sistem sokongan bagi warga emas.

Ia melalui penjagaan di rumah dan akses kepada bantuan perubatan dengan lebih cepat dan efisien.

“Ia turut menyumbang kepada pembangunan komuniti yang lebih komprehensif, sekali gus menjadikan Sarawak lebih bersedia menghadapi perubahan demografi yang akan berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri CENTEXS Mukah & Dalat 2025 di Dewan Serbaguna CENTEXS Mukah hari ini.

Dalam ucapannya, beliau mengumumkan berita baik pembinaan CENTEXS Dalat yang dijangka siap pada hujung tahun ini.

Ia menawarkan pelbagai program menarik termasuk penubuhan pusat bahasa di Dalat.

“Diharapkan pusat ini mampu menjadi platform untuk anak-anak kita memperkukuhkan penguasaan dalam pelbagai bahasa seperti Melanau, Inggeris, Mandarin dan lain-lain,” tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu lagi.

Turut hadir ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi, ADUN Tellian Royston Valentine dan Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Dato Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman.