Kaul Mukah Run berpotensi penggerak sektor pelancongan

MUKAH: Seramai 734 peserta memeriahkan Kaul Mukah Run 2025 anjuran Persatuan Melanau Mukah di Tapak Kaul Mukah hari ini.

Larian mempertandingkan kategori 10km, 5km dan 3km itu dilepaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian merangkap Pengerusi Persatuan Melanau Mukah, Abdul Yakub Arbi.

Abdul Yakub berkata, acara tersebut berpotensi sebagai penggerak sektor pelancongan dan ekonomi di kawasan Mukah.

“Pelbagai aktiviti yang telah dirancang akan dilaksanakan. Kaul Mukah dapat menarik pengunjung dari dalam dan luar negara dengan aktiviti, keunikan budaya, adat, dan tradisi kaum Melanau,” katanya.

Abdul Yakub juga menggalakkan penduduk tempatan mengambil peluang ini kerana ia dapat membantu meningkatkan pendapatan melalui jualan produk.

Sementara itu, Alif Zaini dan Luck Teck Bing muncul pemenang bagi kategori 10KM Lelaki dan Perempuan Terbuka, manakala Mohd Sharif Mohd Ekbar dan Lee Leh Ha memenangi kategori 10KM Lelaki dan Perempuan Terbuka Senior.

Kategori 5KM Lelaki & Perempuan Terbuka pula diungguli Mohd Haijiz dan Esmerelda Elisa sambil Fernandez dan Joanna Eng Siew Jia masing-masing memenangi kategori 5KM Lelaki dan Perempuan Senior.

Turut hadir ADUN Tellian, Royston Valentine; Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh dan Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip.