KUCHING: Anak Debak di perantauan disaran memberi pandangan dan idea untuk memajukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas dan daerah kecil Debak.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, ini kerana kawasan terbabit memiliki potensi besar dibangun sebagai sektor pertanian dan pelancongan.
“Saya berharap semua lapisan masyarakat di DUN Saribas dan anak Debak di perantauan dapat bekerjasama dengan berkongsi idea memajukan kawasan ini yang memiliki potensi besar terutamanya dalam sektor pertanian dan pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Berambeh Ringgo Rayo Urang Debak di Dewan Serbaguna Akademi Kastam, di sini, hari ini.
Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas berkata, beliau sedar tugas itu tidak boleh dilakukan secara sendirian sebagai wakil rakyat.
Justeru, beliau memerlukan sokongan serta kerjasama semua masyarakat kawasan itu.
