LUNDU: Pembangunan negara MADANI bermula dengan pengukuhan institusi kekeluargaan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Dato Sri Nancy Shukri.
Berucap ketika merasmikan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI dan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Zon Sampadi di Daerah Lundu hari ini, beliau menekankan penerapan nilai-nilai murni merupakan asas penting dalam pembentukan masyarakat dan negara MADANI.
“Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) yang ditubuhkan April 2024 di bawah Pejabat Perdana Menteri, memainkan peranan penting dalam memupuk semangat kenegaraan serta memperkenalkan nilai-nilai Malaysia MADANI hingga ke peringkat akar umbi,” katanya.
Menurut beliau, kementerian juga berusaha memperkasa golongan wanita agar bukan sahaja menjadi pemimpin dalam institusi keluarga dan di tempat kerja, tetapi dalam masyarakat.
Terdahulu, dalam ucapan alu-aluan, Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr Roslan Hussin menzahirkan penghargaan kepada agensi-agensi kerajaan yang menjayakan program kenegaraan bersama komuniti, yang pertama kali diadakan di Lundu.
Menurut beliau, sesi interaktif kenegaraan turut diadakan pada sebelah pagi, melibatkan lima agensi kerajaan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Lundu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Lundu, Pejabat Kesihatan Daerah Lundu, Jabatan Penerangan (JAPEN) Daerah Lundu serta Akademi Kenegaraan Malaysia Sarawak.
Turut hadir ialah Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli; Penolong Pegawai Daerah Lundu, Anwar Fakhriyuddin Matamit; Setiausaha Politik kepada Menteri, Mohammed Kamaluddin Mohd Effendie; Pemanca Kaum Melayu Daerah Lundu, Jumadi Sabian serta ketua-ketua jabatan Daerah Lundu. — JAPEN
