Dewan Suarah Kota Samarahan akan dinaik taraf

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak meluluskan projek pembesaran dan menaik taraf Dewan Suarah Kota Samarahan bagi menyediakan fasiliti yang lebih selesa dan kondusif untuk kegunaan masyarakat.

Berita gembira itu dikongsikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sambil mendedahkan, dewan tersebut akan mampu menampung sehingga 2,500 orang pada satu-satu masa, sekali gus meningkatkan keselesaan pengguna bagi pelbagai acara dan program masyarakat.

Beliau mengumumkan perkara itu di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang di sini hari ini.

Katanya, permohonan bagi pembesaran dewan tersebut telah dikemukakan oleh Rubiah bersama Timbalan Speaker DUN Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato’ Idris Buang sebelum ini.

Menurut Premier Sarawak, projek naik taraf ini adalah penting memandangkan dewan tersebut sering digunakan bagi penganjuran pelbagai acara berskala besar seperti program komuniti, sambutan perayaan, majlis rasmi serta aktiviti melibatkan masyarakat pelbagai lapisan.

Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan; Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Selain itu, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni; Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Sarawak merangkap ADUN Muara Tuang, Dato’ Idris Buang; Senator Dewan Negara, Pele Peter Tinggom; Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee; ADUN Beting Maro, Razaili Gapor; ADUN Kota Sentosa, Yap Yau Sin; ADUN Simunjan, Awla Dris dan ADUN Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang turut hadir bersama tetamu jemputan yang lain.