KUCHING: Industri tenaga hijau dan penangkapan karbon menjadi topik perbincangan delegasi Jawatankuasa Parlimen Persatuan Dagangan Bebas Eropah (EFTA) semasa melakukan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di di Wisma Bapa Malaysia hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Parlimen EFTA dan Ketua Delegasi Iceland, Grimur Grimsson yang mengetuai delegasi EFTA berkata, turut dibincangkan dalam pertemuan itu mengenai kelestarian tenaga.
“Kami sedang membincangkan pembangunan dan pengeluaran tenaga terutamanya dalam tenaga hijau.
“Kemampanan dan tenaga hijau adalah kata kunci dalam hal ini termasuk penangkapan karbon juga,” katanya kepada media selepas kunjungan.
Kunjungan hormat merupakan sebahagian daripada lawatan kerja selama seminggu ke Malaysia dalam usaha memperkukuhkan hubungan antara parlimen.
Selain itu, mendapatkan maklumat dan pandangan secara langsung serta meraih sokongan politik bagi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-EFTA (Malaysia Economic Partnership Agreement – MEEPA) yang dimuktamadkan 11 April 2025.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi Dan Pembangunan), Dato Sri Muhammad Abdullah Zaidel; Ketua Delegasi Negara Norway, Trine Lise Sundnes; Ketua Delegasi Negara Switzerland, Thomas Aeschi dan Ketua Delegasi Negara Liechenstein, Sebastian Gassner serta dif kehormat lain.
Dalam pada itu, Trine Lise memberitahu, Norway juga berminat dengan industri alga yang diusahakan di Sarawak khususnya yang digunakan dalam tenaga hijau.