Ordinan Biodiversiti Sarawak akan dipinda

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan meminda Ordinan Biodiversiti Sarawak bagi menjalankan penyelidikan serta mengkomersialkan hasil kajian biodiversiti di wilayah ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pindaan ordinan itu penting bagi membolehkan potensi komersial bahan biodiversiti dimanfaatkan secara optimum, termasuk melalui kerjasama strategik dengan pihak berkuasa yang sah.

“Di bawah ordinan sedia ada, Pusat Kepelbagaian Biologi Sarawak (SBC) tidak dibenarkan menjalankan aktiviti komersial.

“Saya telah memutuskan supaya ordinan tersebut dipinda agar penyelidikan dan komersialisasi boleh dilaksanakan, dan hasilnya dapat dikongsi bersama dunia,” katanya semasa Majlis Pelancaran ‘Vision With Action For Biodiversity: Policy And Plan’ di Imperial Hotel malam tadi.

Jelasnya, antara contoh penyelidikan yang berpotensi untuk dikomersialkan adalah kajian terhadap alga yang berkemungkinan menghasilkan bahan api bio, termasuk Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF).

Jelas beliau, jika SBC tidak dibenarkan bekerjasama secara komersial, Sarawak akan kehilangan peluang besar dalam industri tenaga hijau.

Kata Abang Johari, pelan dan tindakan biodiversiti Sarawak harus merangkumi aspek ekonomi, kemakmuran, keterangkuman, serta kelestarian alam sekitar.

Sementara itu, beliau turut berkongsi penemuan baharu iaitu sejenis pokok asli yang dikenali sebagai Kalapaya, yang memiliki pertumbuhan pesat serta tekstur kayu lebih baik berbanding akasia.

Pokok ini katanya, berpotensi digunakan dalam penghasilan biojisim untuk penjanaan kuasa hibrid menggunakan campuran biojisim, gas dan hidrogen.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian; Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh; Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datu Abdullah Julaihi serta Wakil Residen UNDP ke Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Edward Vrkíc.