KUCHING: Program makmal mini ‘Think and Thinker (T&T)’ Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) mencapai kejayaan yang membanggakan.
Program strategik itu dilaksanakan untuk mengetengahkan potensi pelajar luar bandar meluahkan fikiran secara kreatif, kritikal dan berinovasi.
Dua pasukan dari SMK Medamit, Limbang yang menyertai program berkenaan, layak untuk menyertai pusingan akhir Anugerah Kreativiti dan Inovasi Antarabangsa (ICIA) di Universiti Ekonomi, Bandar Ho Chi Minh, Vietnam, mulai 25 hingga 28 April 2025.
Kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan TEGAS untuk merapatkan jurang berinovasi pelajar bandar dan luar bandar dan memberi impak sebenar inisiatif membangunkan belia.
Kejayaan itu juga sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 yang mengutamakan pembangunan bakat secara inklusif dan membangun berasaskan inovasi di Sarawak.
SMK Medamit layak ke pusingan akhir itu selepas menjuarai pertandingan makmal mini T&T yang diadakan di Kampung Digital TEGAS pada September 2024.
Kejayaan pelajar sekolah terbabit membuktikan kekuatkan pelajar luar bandar Sarawak apabila diberi peluang dan tempat yang sesuai.
“Kejayaan itu bukan setakat untuk SMK Medamit tetapi melambang apa sahaja yang dilakukan untuk meningkatkan cara berfikir pelajar tanpa mengira keadaan geograpi. Di Tegas, kita percaya bakat ada di mana-mana tetapi peluangnya hendaklah diberikan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Udin Bujang.
Kejayaan itu menandakan satu lagi pencapaian TEGAS dalam misi meyokong inovasi, pendidikan dan pembangunan bakat di seluruh Sarawak.
