Premier setuju terima pencalonan tunggal YDP PERKIM

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersetuju menerima pencalonan tunggal sebagai Yang Dipertua (YDP) Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) bagi penggal 2025 hingga 2028.

Dalam kenyataan media dikeluarkan Pejabat Premier Sarawak di sini hari ini, beliau merakamkan penghargaan kepada semua ahli PERKIM atas sokongan yang diberikan.

“Saya juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad, penyandang YDP PERKIM atas jasa dan bakti beliau sejak memimpin PERKIM pada tahun 2006,” katanya.

Menurut Abang Johari, usaha Tun Dr. Mahathir akan diteruskan sebaik mungkin bagi merealisasikan hasrat dan dasar tokoh pengasas PERKIM, khususnya Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam menjaga kebajikan umat Islam.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim yang juga penyandang Naib YDP PERKIM serta Dato’ Ustaz Mohd Nakhaei Ahmad yang telah menarik diri daripada pencalonan dan menyatakan sokongan terhadap pelantikannya sebagai YDP baharu.