KUCHING: Pengurus Besar Perusahaan Industri Perkayuan Sarawak (PUSAKA), Zainal Abidin Abdullah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MKKM) bagi tempoh 2025-2027.
PUSAKA dalam satu kenyataan di sini hari ini, mengucap tahniah kepada Zainal Abidin berkata, pelantikan itu mengiktiraf keupayaan dan kepimpinannya dalam membangunan sektor perkayuan negara.
Zainal menzahirkan keyakinan mengenai masa depan industri pembalakan dan perkayuan dan memberi fokus baharu ke atas kepimpinan strategik dengan matlamat mewujud pertumbuhan mampan dan berinovatif.
“Saya berharap dapat bekerja rapat dengan semua pemegang taruh untuk meningkatkan taraf industri pembalakan, menggalakkan pengurusan hutan secara bertanggungjawab dan memperluaskan pasaran di dalam dan luar negara,” katanya.
Beliau berkata, Sarawak memiliki kelebihan kerana masih kaya dengan sumber semula jadi, hutan dan produk perkayuan
Sarawak, tambahnya, berpotensi membangunkan industri terbabit dengan menggunakan teknologi canggih, meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan menerokai pasaran baharu.
“Dengan usaha bersungguh-sungguh dalam pembinaan keupayaan, inovasi dan amalan lestari, kita mampu meningkatkan mutu produk dan menawar kepelbagaian,” katanya.
Beliau yakin dengan dasar yang betul, mekanisme dan amalan komprehensif dan kerjasama industri di tiga wilayah, sektor pembalakan dan perkayuan akan tumbuh dan menetapkan tanda aras membina kelestarian dan sumbangan kepada ekonomi.
Beliau turut menzahirkan rasa penghargaan kepada Kementerian Perladangan dan Komoditi dan kerajaan atas kepercayaan yang diberikan.
