KUCHING: Lima Rang Undang-Undang (RUU) akan dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak mulai 20 hingga 29 November, ini.
Speaker DUN, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, lima RUU terbabit ialah Sarawak Ombudsman, 2023, RUU Alam Sekitar (Mengurang Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023 dan RUU Pengagihan Gas (Pindaan) 2023 dan RUU Bekalan Elektrik (Pindaan) 2023.
Pada persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Kedua DUN Sarawak Ke-19 itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas akan membentangkan satu usul berkaitan Ordinan Lembaga Tabung Masa Depan Kekayaan Berdaulat Sarawak, katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Prapersidangan DUN di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Jalan Bako, di sini.
Mesyuarat itu dipengerusikan Yang di-Pertua Parti merangkap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Dato Sri Dr Sim Kui Hian serta Ahli-Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti. Speaker DUN, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.
Asfia menegaskan, Sarawak adalah negeri pertama di Malaysia yang membentangkan RUU Sarawak Ombudsman, 2023 dan RUU Alam Sekitar (Mengurang Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023.
Menurut beliau, usul daripada Douglas Uggah yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua di bawah Peraturan Mesyuarat 23(1)(a) dan dibawa bersama Perkara 33(1)(c) Perlembagaan Sarawak dan Seksyen 6(2) The Sarawak Sovereign Wealth Future Fund Board Ordinance 2022 (Cap. 81 berkenaan pelaburan.
RUU Perbekalan (2024) akan dibentangkan oleh Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu pada hari pertama, manakala RUU Sarawak Ombudsman 2023 akan dibetangkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, katanya.
Asfia menegaskan, RUU Alam Sekitar (Mengurangkan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023, akan dibentangkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 dan Perhubungan Negeri-Persektuuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi akan membentangkan RUU Penagihan Gas (Pindaan) 2023, dan Bekalan RUU Bekalan Elektrik (Pindaan) 2023, katanya.
Asfia menambah kata, keseluruhannya sebanyak 322 soalan dikemukakan oleh Ahli-ahli DUN pada persidangan kali ini dan daripada 322 soalan itu, 222 adalah soalan lisan dan selebihnya soalan secara bertulis.
Sesi soal jawab akan diadakan selama empat hari bermula pada 21 hingga 24 November, manakala perbahasan ke atas RUU Perbekalan (2024) dari 22 hingga 29 November, katanya.
