SIBU: Penggabungan agensi utama bekalan air di Sarawak akan memberi manfaat jangka panjang kepada kakitangan agensi yang terlibat.
Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, proses penggabungan itu kini dalam fasa akhir.
Katanya, pelancaran entiti baharu itu nanti dijangka diumumkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Jun depan.
“Jika masih ada yang masih khuatir impak penggabungan ini tidak perlu risau kerana kami tahu apa yang terbaik untuk semua.
“Kebajikan kakitangan akan terus dijaga, dengan penambahbaikan dari segi gaji, pencen dan caruman KWSP yang sedang diperincikan, maklumat lanjut akan diumumkan dalam sesi town hall yang akan diadakan berkaitan perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Jamuan Tahunan Lembaga Air Sibu 2025 dan Ramah Tamah Aidilfitri di sini malam tadi.
Tiga entiti yang terlibat dalam penggabungan ini ialah Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Air Sibu (SWB) dan Sarawak Water Sdn Bhd yang dahulunya dikenali sebagai Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU).
Manakala, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) tidak terlibat dalam penyatuan tersebut buat masa ini.
Julaihi menjelaskan, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM697 juta untuk melaksanakan 30 projek di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) di kawasan seliaan Lembaga Air Sibu.
“Setakat ini, lapan projek telah siap 26 peratus manakala 11 projek mencapai 37 peratus sedang berjalan mengikut jadual, dan baki 11 lagi masih dalam fasa perancangan.
“Antara projek utama yang sedang berjalan termasuk Naik Taraf Loji Rawatan Air Salim serta penggantian dan penaiktarafan paip lama dengan kos sebanyak RM338 juta bagi bahagian Sibu,” katanya.
Seramai 31 kakitangan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2023 dan 2024 serta sijil Penghargaan Perkhidmatan selama 20 Tahun kepada tiga orang kakitangan dan Sijil Penghargaan Perkhidmatan Selama 30 tahun kepada tujuh orang kakitangan, manakala satu Anugerah Khas kepada seorang kakitangan Lembaga Air Sibu.
