Malaysia komited memimpin peralihan tenaga rantau ini

LONDON: Malaysia menzahirkan komitmen teguh terhadap keselamatan tenaga dan peralihan tenaga yang adil serta memimpin peralihan tenaga rantau ini.

Menurut kenyataan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) ini ketika Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Tenaga dihadiri pemimpin-pemimpin utama dunia dalam sektor tenaga selama dua hari, di sini, yang melabuhkan tirainya semalam.

Delegasi Malaysia diketuai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Fadillah Yusof pada sidang terbabit.

“Malaysia telah menzahirkan komitmen teguh terhadap keselamatan tenaga dan
peralihan tenaga yang adil serta berdaya tahan, sejajar dengan aspirasi globaluntuk mencapai masa depan tenaga yang bersih, mampan dan inklusif,”menurut kenyataan itu hari ini.

Timbalan Perdana Menteri juga menegaskan Malaysia komited memimpin peralihan tenaga rantau ini secara pragmatik dan progresif dengan memberi keutamaan kepada kebolehcapaian, keterjaminan bekalan dan kemampuan pengguna.

Selain itu, Malaysia juga memanfaatkan sidang ini untuk memperkukuh kedudukan sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan menerajui usaha merealisasikan Grid Tenaga ASEAN.

Di samping itu, ia mempromosikan pendekatan menyeluruh menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan memperkasa kerjasama dua hala dalam sektor tenaga menerusi pertemuan dengan pemimpin UK dan Pengarah Eksekutif IEA.