Lapan ahli Parti PBB dilantik Ahli Majlis Daerah Sri Aman

SIMANGGANG: Timbalan Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Lingga, Malita Kasi merupakan wanita pertama parti itu dari Daerah Sri Aman dilantik Kaunselor iaitu Ahli Majlis Daerah Sri Aman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor sehubungan itu berharap agar Malita menjalankan tugas dan amanah diberikan sebagai kaunselar.

“Saya mahu beliau (Malita) buktikan kepada masyarakat di Bahagian Sri Aman ini, wanita boleh jadi kaunselar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penghargaan dan Penyerahan Tugas Pelantikan Kaunselor Bagi Sesi 2025-2028 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga, di sini, semalam.

Seramai lapan ahli Parti PBB dari sekitar Daerah Sri Aman dan Lingga dilantik sebagai Ahli Majlis Daerah Sri Aman.

Antaranya ialah Anthony Abell Chendan (Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman), Suhaidi @Roslan Los (Timbalan Ketua Cawangan PBB Lingga), Abdul Hisham Ahmad, Dauglas Kambing, Majing Rimbau, Douglas Pasang, Malita Kasi dan Bakri Eni.

Turut hadir Pegawai Khas dari Pejabat Premier Sarawak, Datuk Bujang Helmi Hazmi, Temenggung Mohamad Shah Achang, Pemanca Abang Norin Abang Norudin, Ketua Pemuda PBB Lingga, Abdul Rahim Jamil dan Ketua Wanita PBB Lingga, Sapiah Drahman.