SIMUNJAN: Jabatan Hutan Sarawak (FDS) bersama Cahya Mata Sarawak melaksanakan program penanaman 2,500 pokok spesies asli di Hutan Simpan Sabal hari ini dalam usaha memulihkan ekosistem hutan dan menangani perubahan iklim.
Program ini turut menyokong Agenda Penghijauan Malaysia dan Kempen Penghijauan Sarawak, dengan pencapaian melebihi 35 juta pokok ditanam setahun lebih awal daripada sasaran.
Timbalan Pengarah Hutan Sarawak, Semilan Ripot berkata, program berkenaan bukan sekadar menambah bilangan pokok, malah lebih penting sebagai langkah melawan perubahan iklim.
“Walaupun program penanaman pokok hari ini membantu menambah bilangan pokok di bawah Agenda Penghijauan Malaysia menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok (2021-2025) yang telah melepasi sasaran 35 juta pokok lebih awal.
“Dan matlamat yang lebih besar ialah menyokong usaha kita memerangi perubahan iklim,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Penyelenggaraan Jalan Cahya Mata Sarawak, Raymond Ugay pula berkata, penglibatan syarikat dalam program ini memperkukuh komitmen mereka terhadap kelestarian.
Program itu melibatkan 250 peserta terdiri daripada wakil FDS, Cahya Mata Sarawak, pensyarah dan pelajar Institut Teknologi Sarawak (i-CATS) serta komuniti tempatan mengambil bahagian dalam aktiviti berkenaan.
Program ini juga menandakan sambutan Hari Arbor pertama anjuran Cahya Mata Sarawak, yang bertujuan memupuk budaya prihatin terhadap alam sekitar dalam kalangan warga korporat dan masyarakat.
