KUCHING: Sarawak berada di landasan kukuh menuju status negeri berpendapatan tinggi lebih awal daripada sasaran tahun 2030.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, institusi kewangan seperti Affin Bank memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi tersebut.
“Institusi kewangan mesti lebih daripada sekadar menguruskan modal.
“Mereka perlu komited untuk menyediakan akses kepada perkhidmatan kewangan, memacu mobiliti sosial serta menyokong perniagaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berkembang dalam era digital,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa merasmikan pembukaan cawangan baharu Affin Bank di Icom Square di sini, hari ini.
Menurutnya, pembukaan cawangan baharu itu bukan sekadar perluasan perniagaan, sebaliknya mencerminkan kerjasama erat antara Sarawak dan Affin Bank dalam memperkukuh rangkaian kewangan untuk menyokong pembangunan inklusif dan lestari di negeri ini.
Tambah beliau, Sarawak percaya setiap rakyat, tanpa mengira latar belakang atau lokasi, wajar mendapat akses kepada alat kewangan untuk membolehkan mereka membangun dan menyumbang kepada ekonomi negeri.
Premier Sarawak turut menekankan bahawa projek strategik seperti Pelabuhan Laut Dalam Tanjung Embang dan Lapangan Terbang Antarabangsa baharu memerlukan modul kewangan kukuh.
Beliau yakin Affin Bank, melalui struktur integrasi bersama Affin Islamic dan Affin Investment Bank, mampu menyokong aspirasi jangka panjang Sarawak.
“Dengan sokongan kepada sektor seperti hidrogen, kecerdasan buatan (AI), aeroangkasa, dan perkhidmatan digital, Affin Bank menunjukkan komitmen untuk bergerak seiring dengan visi Sarawak membangunkan ekonomi masa depan,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menggesa institusi kewangan agar memperluas perkhidmatan ke kawasan luar bandar seperti Betong, memastikan tiada komuniti yang tertinggal dalam arus pembangunan.
Majlis perasmian itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel; Pengerusi Affin Bank Berhad, Dato’ Agil Natt; Pengerusi Affin Islamic Bank Berhad, Musa Abdul Malik; serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah.
