UNIMAS anjur aktiviti kesukarelawanan 48 jam

SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mensasarkan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi penganjuran aktiviti kesukarelawanan terpanjang tanpa henti selama 48 jam.

Menurut kenyataan media UNIMAS, ini melalui penganjuran program mega “UNIMAS: Inisiatif Bakti – The Longest Non-Stop Volunteerism Activities 2025.

Inisiatif kesukarelawanan berskala besar selama 48 jam tanpa henti terbabit diadakan di sekitar Kota Samarahan dan Kuching bermula 25 hingga 27 April 2025.

“Matlamat utama untuk menembusi MBOR dalam kategori aktiviti kesukarelawanan paling lama dijalankan secara berterusan,” menurut kenyataan itu.

Seramai 5,000 sukarelawan disasarkan menyertai program ini, termasuk mahasiswa, staf, pentadbir universiti dan komuniti luar.

Komuniti luar turut terlibat secara aktif dalam menjayakan program ini, termasuk Kampung Muhibbah Seberang Pending, Masjid Al-Malik,SMK Santubong dan SMK Kota Samarahan Rumah Seri Kenangan, PERYATIM, Sama Jaya Forest Park dan Borneo Happy Farm.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berharap agar program ini diperluaskan di peringkat negeri.

“Ini supaya ia dapat melibatkan belia dari pelbagai latar belakang, bukan hanya pelajar universiti, tetapi juga belia di luar bandar, penggiat seni, usahawan muda dan para atlet,” katanya di majlis penutupan program terbabit, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa membuka pintu dan bersedia menyokong usaha seperti ini, sama ada melalui kerjasama rentas kementerian, peruntukan dana khas atau penyaluran sumber latihan dan bimbingan.