Lawatan Premier ke UK perkukuh kerjasama pembangunan industri semikonduktor

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan mengetuai delegasi kerajaan negeri untuk melawat Pusat Inovasi CSA Catapult di Newport, United Kingdom pada 29 April ini.

Lawatan tersebut bertujuan memperkukuh kerjasama pembangunan industri semikonduktor antara Sarawak dan UK.

Dalam lawatan itu kelak, Kerajaan Sarawak melalui SMD Semiconductor Sdn Bhd akan bertukar dokumen perjanjian kerjasama dengan CSA Catapult, Silicon Catalyst serta 5G3i Ltd dari UK.

Selain itu, SMD Semiconductor turut akan memperkenalkan Sarawak Semiconductor Roadmap 2030 kepada pemain industri semikonduktor UK dalam taklimat oleh Pengerusinya, Dato Sri Wanlizozman Wan Omar yang juga Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak.

Sebagai sebahagian daripada program tersebut, SMD Semiconductor akan mempamerkan demonstrasi perkakasan dan melancarkan secara lembut prototaip penukar berkuasa AI terbaharu mereka, iaitu satu sistem pengurusan dan kawalan tenaga pintar dengan potensi aplikasi dalam bidang tenaga, pengangkutan, industri, aeroangkasa, penjagaan kesihatan dan pertahanan.

Delegasi Sarawak juga akan menghadiri majlis makan tengah hari bersama wakil kerajaan dari England, Scotland dan Ireland Utara bagi mengukuhkan hubungan dua hala terutama dalam pembangunan teknologi semikonduktor sebatian.

Selain itu, Premier Sarawak dijadual meneruskan lawatan kerja ke Cambridge University Press and Assessment pada 30 April, sebelum menghadiri sesi meja bulat berhubung kelestarian di London School of Economics and Political Science (LSE) pada 1 Mei, diikuti pemeteraian MoU antara LSE dan Kerajaan Sarawak.

Lawatan kerja itu turut merangkumi pertemuan dengan Persatuan Hidroelektrik Antarabangsa dan Global Renewables Alliance di London, ucaptama kepada pemain industri, pertemuan dengan pelajar Sarawak di UK, serta lawatan ke ibu pejabat Airbus di Toulouse, Perancis, sebelum meneruskan misi ke Abu Dhabi.