Kaul Mukah platform penduduk jana pendapatan

MUKAH: Sambutan Kaul Mukah bukan sekadar tradisi untuk menghormati adat resam kaum Melanau, sebaliknya sebagai platform masyarakat menjana pendapatan. 

Menurut Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Hanifah Hajar Taib, penganjuran gerai jualan sempena Kaul Mukah membuka peluang kepada usahawan tempatan memperkenalkan produk-produk. 

“Oleh itu, masyarakat tempatan harus memanfaatkan peluang ini.

“Kita berharap semoga lebih ramai lagi pengunjung dari luar kawasan Mukah akan datang ke Pesta Kaul ini,” ujarnya berucap semasa Majlis ‘Keman’ Kaul 2025 di Tapak Kaul, Pantai Kala Dana, di sini, pagi tadi. 

Lebih istimewa, ‘Keman’ Kaul yang membawa maksud Majlis Makan Kaul pada tahun ini diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menghadiri acara ‘berambeh’ dengan masyarakat.

Hanifah yang juga Ahli Parlimen Mukah menjelaskan signifikan majlis ini untuk mengukuhkan keharmonian dan menyemai semangat perpaduan antara pemimpin dan rakyat.  

“Majlis ‘Keman’ Kaul pada pagi ini diadakan sebagai tanda penghargaan dan meraikan hubungan erat antara pemimpin bersama rakyat, khususnya masyarakat di Bahagian Mukah,” ujar beliau. 

Hadir sama, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai; Timbalan Menteri Perancang Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine; Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi dan Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh.

Usai majlis perasmian, TYT serta isteri dan diiringi dif-dif kenamaan lain bergerak mengunjungi gerai-gerai komuniti sambil meluangkan masa menyantuni pengunjung yang hadir.