Program MCMC Microsoft AI TEACH latih peserta Sarawak kemahiran AI

KUCHING: Program MCMC Microsoft AI TEACH disasarkan melatih ramai peserta dari seluruh Sarawak dengan kemahiran Kecerdasan Buatan (AI).

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, program latihan ini merupakan inisiatif hasil kerjasama strategik antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Microsoft Malaysia.

Katanya, kandungan latihan merangkumi asas AI, AI Generatif, prinsip etika dan keselamatan serta kemahiran praktikal yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian dan dunia pekerjaan.

“Dengan sokongan daripada kerajaan negeri dan pelbagai pihak berkepentingan, program ini disasarkan untuk melatih lebih
ramai peserta dari seluruh Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program MCMC Microsoft AI TEACH Peringkat Sarawak di CENTEXS Santubong, di sini, hari ini.

Julaihi berkata, beliau dimaklumkan sehingga kini lebih daripada 2,000
peserta dari seluruh negara berjaya menjalani latihan ini.

“Ia bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan literasi digital, malah memberi peluang kepada peserta untuk membina kerjaya dan terus kekal berdaya saing dalam ekonomi digital,” tambahnya.