12 projek pembangunan Zon Muara Tebas siap

KUCHING: Kampung Muara Tebas, Kampung Muara Tebas Lot dan Taman Mesra Muara Tebas terus mencatatkan kemajuan pesat dengan 12 projek pembangunan yang telah siap dilaksanakan.

Manakala, dua lagi masih dalam peringkat menunggu kelulusan, dengan nilai keseluruhan mencecah lebih RM4.3 juta sejak tahun 2015.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, Kampung Selabat menyaksikan pelaksanaan lapan projek pembangunan yang siap dengan nilai RM1.3 juta.

“Antara projek-projek tersebut termasuk peningkatan sistem perparitan, lampu jalan, pembinaan jalan, pembangunan dan penaiktarafan kemudahan pendidikan di Sekolah Rendah Muara Tebas, pembinaan baharu rumah komuniti dan kawasan letak kereta serta kerja menaik taraf padang bola sepak dan padang takraw.

“Projek pembinaan tebingan sungai di Kampung Muara Tebas dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan dan permohonannya akan dikemukakan kepada Kerajaan Sarawak pada tahun ini,” katanya,

Beliau berkata demikian pada Ramah Tamah Hari Raya di Kampung Muara Tebas dekat sini baru-baru ini.

Dr Hazland yang juga ADUN N.5 Demak Laut turut mengumumkan peruntukan dana tambahan sebanyak RM40,000 untuk meneruskan usaha menaik taraf Dewan Kampung Muara Tebas, yang kini menjadi antara dewan tercantik di Demak Laut.

Manakala, sebuah projek benteng hakisan sungai bernilai RM25 juta juga akan dilaksanakan tahun ini.

Beliau turut menekankan betapa pentingnya perpaduan dan persefahaman dalam kalangan masyarakat sebagai kunci merealisasikan pembangunan berterusan demi kesejahteraan generasi akan datang.

Menurutnya, menyedari pertumbuhan penduduk yang dijangka terus meningkat, penyediaan tempatan kediaman yang selesa dan berkualiti menjadi fokus utama di kawasan DUN Demak Laut.

“Dengan komitmen tinggi, kita berhasrat untuk melaksanakan projek perumahan yang bukan sahaja dapat dinikmati oleh generasi kini, malah akan diwarisi oleh generasi seterusnya.

“Persekitaran kediaman yang baik memainkan peranan penting dalam melahirkan modal insan yang berkualiti,” katanya.

Lebih 2,500 ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dari keempat-empat ranting memeriahkan majlis yang diserikan dengan persembahan tarian, nyanyian, serta sumbangan kepada kanak-kanak dan warga emas.