Dua blok kuarters guru SK Perpat musnah terbakar

SARATOK: Dua blok kuarters guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Perpat musnah dalam kebakaran tengah hari tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok menerima panggilan kecemasan sekitar jam 12.50 tengah hari.

Seramai 11 anggota BBP Saratok yang diketuai Pegawai Bomba Kanan 2, Abdul Rahman Sabi dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan tersebut.

“Setibanya di lokasi kejadian, komander operasi melaporkan dua blok kuarters guru jenis tidak kekal musnah 100 peratus dalam kejadian kebakaran tersebut.

“Siasatan awal mendapati satu blok mempunyai dua pintu, tiada berpenghuni dan di dapati kosong serta tidak didiami. Manakala, satu lagi blok yang juga mempunyai dua pintu di diami, namun penghuni tiada di rumah semasa kejadian berlaku.

“Secara keseluruhannya, empat pintu kediaman terlibat dalam kebakaran,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

PGO berkata, kerja-kerja pembersihan turut dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.

Siasatan awal mendapati satu blok kosong dan tidak didiami (tiada bekalan elektrik) manakala satu blok lagi berpenghuni bagaimanapun tiada sesiapa berada di rumah ketika kejadian.

Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini. Jumlah kerugian masih dalam siasatan bomba. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3 petang, kata kenyataan itu.