Sarawak sedia perancangan kewangan bagi projek mega

KUCHING: Keseluruhan perbelanjaan bagi projek yang dibiayai menggunakan dana Sarawak sendiri telah mencecah sebanyak RM36 bilion setakat ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, projek terbabit adalah pembinaan infrastruktur asas yang diberi tumpuan dalam lima tahun pertama.

“Ini seperti jalan raya, jambatan, serta meningkatkan bekalan air dan tenaga ke pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Affin Bank di Hotel Sheraton, di sini, malam tadi.

Abang Johari menjelaskan, Kerajaan Sarawak sebelum melancarkan mana-mana projek telah membuat pengiraan teliti termasuk dalam aspek pembiayaan.

Menurutnya, semua projek mega seperti pembangunan pelabuhan dalam, lapangan terbang antarabangsa baharu dan industri berasaskan gas serta hidrogen juga dirancang dengan mengambil kira masa pelaksanaan yang panjang dari tujuh hingga 10 tahun.

“Oleh itu, kita telah menyediakan perancangan kewangan jangka panjang, termasuk pelan pembayaran balik berasaskan sistem amortisasi bagi memastikan kestabilan ekonomi Sarawak,” jelasnya.

Justeru, beliau menggesa rakyat Sarawak agarp terus optimis terhadap masa depan negeri dan tidak terpengaruh dengan pandangan luar yang pesimis.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel; Pengerusi Affin Bank Berhad, Dato’ Agil Natt; Pengerusi Affin Islamic Bank Berhad, Musa Abdul Malek.