Projek Jambatan Batang Rambungan dijadual siap awal

LUNDU: Sasaran untuk menyiapkan projek Jambatan Batang Rambungan di sini, sembilan bulan lebih awal dari jadual asal iaitu Julai 2026, akan terlaksana.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini berikutan projek pembinaan jambatan sepanjang 560 meter (m) bernilai RM82 juta itu diambil alih oleh kontraktor baharu berikutan kegagalan kontraktor sebelum ini menyiapkan projek.

Katanya, kontraktor baharu mempunyai reputasi baik dalam pembinaan jambatan dan bahan-bahan utama projek sudah tersedia di tapak, kecuali kabel yang masih dalam proses penghantaran.

“Kami yakin dengan kekuatan tenaga kerja dan modal yang dimiliki, mereka mampu mempercepatkan jadual penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersama Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo mengadakan lawatan kerja ke Projek Jambatan Batang Rambungan, di sini, hari ini.

Uggah berkata, Kerajaan Sarawak sedang merangka mekanisme menaik taraf jalan-jalan bekas laluan balak di seluruh negeri ini yang dikategorikan sebagai jalan kampung.

“Apabila dinaik taraf menjadi jalan negeri, kita boleh menggunakan peruntukan lebih besar untuk penyelenggaraan,” katanya.

Beliau berkata, ini termasuk menggunakan peruntukan dana Malaysian Road Records Information System (MARRIS).

Hadir sama Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Dr Cassidy Morris.