Penduduk Awat-awat produktif ceburi IKS, manfaatkan kemudahan

LAWAS: Kawasan Awat-awat yang memiliki enam kampung di sini berpotensi besar membangun kerana berdekatan projek mega iaitu lapangan terbang baharu Lawas, pelabuhan laut dalam dan lebuh raya pesisir Borneo.

Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata, untuk merealisasikan impian itu, penduduknya hendaklah sepakat dengan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Kesepakatan penduduk di Awat-awat dengan Kerajaan GPS selama ini telah berjaya membawa banyak perubahan di kawasan terbabit,” katanya pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Zon Awat-awat di Waterfront Awat-awat di sini.

Beliau berkata, melalui usaha keras kepimpinan GPS dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyaksikan transformasi sebuah perkampungan kecil nelayan itu kini berkembang menjadi enam buah perkampungan besar.

“Di awal tahun 1980-an, kita hanya ada empat kampung kecil di Awat-awat. Tetapi selepas Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menjadi wakil rakyat, kehidupan rakyat dan transformasi pembangunan telah mengubah perkampungan nelayan ini menjadi sebuah penempatan moden dan maju,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat agar memanfaatkan segala kemudahan untuk memajukan diri, keluarga dan kampung.

“Ini kerana, saya amat yakin penduduk Awat-awat amat produktif dalam kegiatan industri kecil dan sederhana (IKS),” tambahnya.

Hadir sama Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara Datu Ubaidillah Latip, Pengerusi Pengelola Ketua Kampung Hamdani Matussin, Exco Saberkas Sarawak Awangku Bahar Pengiran Jini dan Exco Pemuda PBB Sarawak Steve Lius.