KUCHING: Setakat 23 April 2025, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sarawak menerima sebanyak 24 permohonan kemasukan indikator ‘K’ bagi kategori kes anomali anak angkat dan kanak-kanak yang dijumpai.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, daripada jumlah itu, tujuh permohonan bagi anak angkat dan 17 bagi kanak-kanak yang dijumpai.
Kanak-kanak yang dijumpai itu ditempatkan di institusi kebajikan milik kerajaan yang diangkat oleh pasangan warganegara (pemegang indikator ‘K’), katanya pada majlis ramah tamah Aidilfitri dan penyampaian geran dan bantuan JKMS tahun 2025 di sini, hari ini.
Beliau berkata, bilangan permohonan kemasukan indicator ‘K” bagi kes anomali yang diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 26 Septsmber 2024 ialah Sibu sebanyak 11 permohonan, Kuching (10), Miri, Bintulu dan Daro masing-masing satu.
Pada majlis itu, Fatimah menyampaikan geran dan bantuan kepada 10 penerima anugerah pelajar cemerlang institusi, 10 pertubuhan sukarela JKMS, 20 orang bantuan bulanan, 10 panel sijil pelantikan klinik panel SCHB, lima orang bantuan ihsan kematian, 10 rakan strategic KGC dan 5 orang kenyalang gold card.
Sejak diperkenalkan, seramai 320,591 warga emas telah berdaftar sebagai pemegang KGC.
Katanya, sejak lima tahun pelaksanaannya, seramai 23,406 waris telah menerima Bantuan Ihsan Kematian berjumlah RM67.5 juta.
Fatimah turut mengumumkan temasya Special Olympics State Games vll 2025 akan diadakan pada 2 hingga 5 Mei 2025 di sini melibatkan 800 atlet dan pegawai.
Tujuh acara sukan yang diadakan ialah olahraga, renang, badminton, bowling, bocce, bola sepak dan ping pong.
Dalam pada itu, katanya, seramai ll daripada 14 penghuni institusi kanak-kanak di bawah JKMS yang menduduki peperiksaan SPM 2024 lulus dengan jayanya.
