Projek Jalan Sarikei ke Kampung Bukit Kinyau dilulus

SARIKEI: Projek Jalan Sarikei ke Kampung Bukit Kinyau sudah diluluskan di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).

Projek ini akan disambung ke Sentebu berhampiran Sekolah Kebangsaan St Andrew, Sare di sini.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, projek terbabit membabitkan peruntukan lebih RM80 juta.

“Projek Jalan Sarikei ke Kampung Bukit Kinyau sepanjang 12 kilometer (km),” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Santai Belia dan Pemuda anjuran Pemuda Kuala Rajang di sini, baru-baru ini.

Selain itu, Len berkata Jambatan Batang Rajang bakal merancakkan perhubungan dan ekonomi antara Sarikei, Bintangor, Tanjung Manis, Belawai dan Pulau Bruit.

“Tidak lama lagi kita akan membuka Jambatan Batang Rajang, Jalan Pasi Sarikei ke Tanjung Manis,” katanya.