BILA pertandingkan 18 anugerah

KUCHING: Pemain industri acara perniagaan dari dalam dan luar negara disaran menyertai Anugerah Borneo Inspires Legacy (BILA) 2025.

BILA 2025 bertujuan menghargai pencapaian luar biasa dalam sektor acara perniagaan yang memberi tumpuan kepada legasi, kelestarian dan inovasi, sejajar dengan matlamat pembangunan Sarawak yang mampan dan inklusif.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penyertaan dibuka sehingga 15 Jun ini dengan melayari laman rasmi Business Events Sarawak (BESarawak) sebagai penganjur.

“Sebanyak 18 anugerah akan dipertandingkan menerusi lima kategori utama,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media mengenai BILA 2025, di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, kategori terbabit ialah Kecemerlangan Legasi Konvensyen, Kecemerlangan Legasi Pameran, Tanggungjawab Sosial Korporat Mesyuarat dan Insentif Korporat, termasuk Industri Sarawak dan kewartawanan.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan, Pengerusi BESarawak Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Timbalan Pengerusi BEsarawak Datu Hii Chang Kee, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datu Sherrina Hussaini, Ahli Lembaga Pengarah BEsarawak Dr Margaret Chan Kit Yok dan Ketua Pegawai Eksekutif Amelia Roziman.