SIBURAN: Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) melawat Rumah Sembelih Halal Siburan milik Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC), di sini, hari ini.
Delegasi SADA diketuai Pengerusinya, Dato Sri Rohani Abdul Karim dan disertai ahli Jawatankuasa Pemandu SADA.
Mereka termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, Ahli Parlimen Batang Lupar, Shafizan Kepli, Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi dan Pegawai Tadbir Khas SADA, Alfred Geling Ason.
Ini selepas SEDC menjemput Pengerusi SADA mengetuai delegasi itu melawat rumah sembelih terbabit susulan sesi libat urus SADA bersama SEDC pada 11 Mac 2025.
Sementara itu, Rohani menyifatkan lawatan ini bertepatan fokus SADA bagi 2025 sekali gus menyaran SEDC untuk bersama SADA membangun industri pertanian dan meningkatkan ekonomi Bahagian Sri Aman.
Hadir sama, Ketua Pembangunan dan Perancangan Wilayah SEDC, Nikk Adam Abdillah Kipalli dan Pengurus Besar Rumah Sembelih Halal Siburan SEDC, Artino Arshad.
