BAU: Daerah Bau berpotensi menjadi tapak geopelancongan yang makin popular dengan pengiktirafan Sarawak Delta Geopark sebagai UNESCO Global Geopark pada tahun hadapan.
Nada optimis itu disuarakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sambil berkata, usaha sedang giat dijalankan oleh pelbagai pihak di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Bau sebagai persiapan untuk penilaian oleh pihak UNESCO pada bulan hadapan
“Bau adalah sebahagian daripada Sarawak Delta Geopark. Kita berhasrat memperoleh pengiktirafan UNESCO pada tahun depan.
“Bau akan berada di peta dunia bersama-sama dengan Kuching, Padawan dan Siburan,” katanya semasa merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-205 Daerah Bau, Pesta Tasik Biru dan Tasik Biru Resort City di sini hari ini.
Tambahnya, selain usaha mengangkat nama Bau ke peringkat antarabangsa, pembangunan modal insan khususnya dalam kalangan generasi muda turut diberi penekanan sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan mampan.
“Kita mahu meningkatkan kualiti generasi muda di Bau, khususnya dari segi ilmu pengetahuan. Dari situ kita dapat mewujudkan aktiviti ekonomi baharu dan menjana pendapatan, seterusnya membina ekonomi yang mampan,” ujarnya.
Menyentuh perkara lain, Abang Johari turut menyatakan keyakinannya bahawa Sarawak bakal muncul sebagai pemain utama dalam sektor tenaga boleh diperbaharui di rantau ASEAN.
“Saya yakin dalam ekonomi baharu, Sarawak akan menyerlah. Kita akan menjadi pemain utama dalam ASEAN dari segi tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Turut hadir Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Dato Henry Harry Jinep; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh; ADUN Opar, Billy Sujang; Pengarah Urusan Tecktonic and Sons Holdings Sdn. Bhd., Lee Chin Teck, Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi.
