KUCHING: Sarawak sedang memperkukuh kedudukannya sebagai hab utama dalam industri aeroangkasa serantau dengan pelbagai inisiatif strategik yang akan membuka peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
Kerajaan negeri menerusi Kolej Universiti i-CATS dan National Aerospace Industry Corporation (NAICO) Malaysia akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’25) tidak lama lagi bagi mengukuhkan kerjasama dalam bidang aeroangkasa.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, industri aeroangkasa global dijangka mencapai nilai lebih USD1.4 trilion menjelang 2030 dan Sarawak berhasrat untuk menjadi peneraju dalam ekosistem strategik ini.
“Dengan fokus kepada pembangunan teknologi seperti dron pertanian, sistem komunikasi satelit serta cip semikonduktor untuk aplikasi aeroangkasa, Sarawak mahu mewujudkan tenaga kerja mahir yang dapat memenuhi keperluan industri masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Sarawak Skills di sini, hari ini.
Selain itu tambah Roland, Sarawak merancang untuk menubuhkan kampus aeroangkasa di Lundu serta memperluaskan program pengajian aeroangkasa di i-CATS bagi melahirkan bakat tempatan yang kompeten.
Menurut beliau, langkah ini selaras dengan aspirasi negeri untuk mencapai kedaulatan digital dan menjadi pemain utama dalam industri teknologi tinggi di Asia Tenggara.
