Bersikap jujur tuntut NCR – Awang Tengah

BINTULU: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengingatkan rakyat supaya bersikap jujur dalam membuat tuntutan ke atas Tanah Hak Bumiputera (NCR).

Beliau berkata, bersikap jujur dalam membuat tuntut ke atas tanah penting bagi mengelak pertikaian dan pencerobohan yang boleh menjejaskan keharmonian kaum.

Katanya, kerajaan membuka ruang kepada mereka yang benar-benar memerlukan tanah untuk tujuan pertanian.

“Jika tanah itu milik kerajaan dan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk membangunkannya, kerajaan akan pertimbangkan permohonan yang dibuat secara teratur.

“Sudah ramai yang memohon dan kerajaan telah meluluskan banyak permohonan untuk membantu rakyat meningkatkan taraf hidup mereka melalui aktiviti pertanian,” katanya pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) di bawah Inisiatif Baharu Peringkat Kedua NCR bagi Kawasan Bintulu di sini, hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II menegaskan, Kerajaan Sarawak komited untuk mengiktiraf tanah NCR, namun hanya dengan syarat wujudnya bukti yang sah dan kukuh bagi menyokong tuntutan tersebut.

“Kalau itu benar tanah kita, buatlah permohonan secara rasmi dan kita akan pertimbangkan. Tapi kalau itu bukan tanah kita, janganlah menuntut,” katanya.