BETONG: Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) perlu merancang operasi dan penyelenggaraan aset yang bakal siap agar setiap projek pembangunan memberi manfaat kepada rakyat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, aspek itu merupakan faktor penting yang tidak boleh diabaikan dalam mana-mana pelaksanaan projek.
“Perancangan awal perlu mengambil kira keperluan bajet dan tenaga kerja yang mencukupi bagi penyelenggaraan aset yang siap kelak.
“Jika tidak dirancang dengan teliti dari awal, aset akan berisiko terbengkalai dan tidak dapat berfungsi secara optimum,” katanya semasa melakukan lawatan rasmi ke Pejabat Residen Betong di sini, hari ini.
Dr Abdul Rahman turut menegaskan kepentingan kerjasama erat antara BDDA dan pemilik aset seperti jabatan teknikal serta pihak berkuasa tempatan dapat dilakukan secara berterusan.
Beliau turut mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas yang akan berfungsi sebagai platform penyelarasan dan pelaporan isu-isu berkaitan pelaksanaan projek, termasuk aspek penyelenggaraan.
Katanya, jawatankuasa itu nanti akan dipengerusikan oleh beliau sendiri dan dianggotai agensi pusat seperti Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak, Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU), kementerian, jabatan dan agensi teknikal berkaitan.
Hadir sama Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri; ADUN Krian, Friday Belik; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong dan Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abunawas.
