KUCHING: Inisiatif memulihkan biodiversiti sungai di Sarawak terus digiatkan menerusi program pelepasan ikan asli dilaksanakan di lokasi terpilih, terutamanya kawasan yang terlibat dalam projek tagang.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, usaha dikendalikan Jabatan Pertanian Sarawak (JPS).
“Ia melibatkan pelepasan spesies tempatan seperti empurau, tengadak dan udang galah yang dibesarkan di pusat ternakan milik jabatan.
“Langkah ini bertujuan memastikan sumber ikan asli terus kekal dan tidak pupus akibat tekanan pelbagai faktor, termasuk kehadiran spesies asing,” katanya menjawab soalan ADUN GPS-Kabong, Dato Mohd Chee Kadir, pada sidang DUN Sarawak, di sini, hari ini.
Beliau turut berkongsi kejayaan penganjuran Program Pemburuan Ikan Asing Invasif di Sungai Sarawak yang mendapat kerjasama pelbagai pihak, sebagai pendekatan untuk mengurangkan dominasi spesies luar yang boleh menjejaskan habitat ikan tempatan.
Tambahnya, kawasan Betong juga terlibat dalam program pelepasan sejak 2019 meliputi Sungai Layar, Batang Saribas, Beting Maro dan Kabong, melibatkan spesies seperti siakap, lampam, tengadak dan empurau.
Dalam perkembangan berasingan, Abdul Rahman turut memaklumkan bahawa Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) sedang melaksanakan pemasangan tukun tiruan sebagai langkah memelihara dan menambah sumber perikanan laut.
Menurutnya, sebanyak 17 unit tukun telah diturunkan ke dasar laut berhampiran Kabong pada Julai tahun lalu, dan penambahan 17 unit lagi dirancang pada Ogos ini.
Beliau turut mendedahkan, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan dana berjumlah RM30 juta sepanjang tempoh tiga tahun bermula 2023 hingga 2025 bagi menempatkan tukun tiruan sepanjang 746 kilometer kawasan perairan negeri.
