KUCHING: Sarawak kini memiliki autonomi penuh dalam pengedaran gas dan tidak lagi tertakluk kepada Akta Bekalan Gas 1993 serta Akta Pembangunan Petroleum 1974.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengesahkan bahawa perkara itu dimuktamadkan menerusi Deklarasi Bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak yang mengiktiraf Ordinan Pengedaran Gas (DGO) 2016 sebagai undang-undang terpakai di Sarawak.
“Kerajaan Sarawak akan melaksanakan perancangan bagi meningkatkan pengeluaran gas, memastikan penggunaannya secara mampan oleh industri dan menyokong penghasilan tenaga bersih.
“Ini penting bagi memastikan Sarawak mencapai matlamat sebagai Hab Gas Karbon Rendah di Kuching,” katanya semasa penggulungan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa inisiatif ini berpotensi menyumbang sehingga RM120 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak serta mewujudkan 185,000 pekerjaan berpendapatan tinggi, dengan PETROS memainkan peranan penting sebagai pengurus sumber dan pelaksana utama infrastruktur gas.
Beliau berkata, Sarawak bertekad untuk terus kekal kukuh dan memastikan pertumbuhan ekonominya tidak terjejas walaupun berdepan dengan cabaran ketidaktentuan global, khususnya berikutan perang tarif dan turun naik harga minyak dunia.
Katanya, tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat sempena Hari Pembebasan (Liberation Day) hanya memberi kesan minimum kepada Sarawak kerana negara itu bukan rakan dagang utama wilayah ini.
Namun menurutnya, Sarawak tetap terjejas secara tidak langsung akibat ketegangan perdagangan global dan kejatuhan harga minyak kepada sekitar USD65 setong antara April dan Mei 2025, yang menjejaskan pendapatan sektor minyak dan gas.
“Unjuran semasa menunjukkan harga minyak akan berada pada purata USD66 setong pada 2025 dan dijangka menurun kepada USD59 pada 2026,” katanya.
