JEPUN: Kerajaan Sarawak menerusi Sarawak Energy Berhad (SEB) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Japan Bank for International Cooperation (JBIC) dalam sektor peralihan tenaga dan pembangunan lestari.
MoU itu berlangsung di Osaka, Jepun sempena Ekspo Dunia Osaka 2025 bertujuan mempromosikan peralihan tenaga, meningkatkan keterhubungan serantau serta menyokong pembangunan ekonomi yang lestari.
Majlis disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof; Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Mewakili SEB ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Sharbini Suhaili manakala JBIC diwakili Pengarah Eksekutif Kanan merangkap Ketua Global Kumpulan Kewangan Infrastruktur Alam Sekitar, Sekine Hiroki.
Hadir sama Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Liew Chin Tong; Penasihat MINTRED, Dato Sri Mohd Naroden Majais; Setiausaha Tetap MINTRED, Dzulkornain Masron; Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Sarawak, Datu Abdullah Julaihi; Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, Sarawak, Datu Jafri Lias; Ketua Pegawai Eksekutif InvestSarawak, Timothy Ong; serta pegawai kanan Kerajaan Sarawak dan SEB.
Menurut kenyataan hari ini, inisiatif ini juga selaras dengan matlamat Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) untuk menangani perubahan iklim dan memperkukuh keselamatan tenaga di rantau Asia.
Kerjasama strategik ini dijangka membuka lebih banyak peluang pelaburan serta memperkukuh inovasi dalam sektor tenaga hijau, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai peneraju tenaga lestari di rantau Asia.
