Kerajaan GPS bekerja keras demi tingkatkan pendapatan negeri

KUCHING: Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan, baru-baru mencapai persetujuan bersama untuk membangunkan industri minyak dan gas di Sarawak dalam semangat menghormati undang-undang Kerajaan Persekutuan dan Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, adalah menjadi aspirasi rakyat Sarawak untuk menggunakan pulangan daripada hasil sumber asli negeri ini untuk membangunkan negeri.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang memahami impian rakyat Sarawak yang ingin maju seperti kawasan-kawasan lain yang sudah maju.

“Aspirasi ini adalah legasi pemimpin terdahulu yang telah bersama-sama dengan pemimpin lain negara ini dalam pembentukan Malaysia pada 1963.

“Harapan pemimpin pada 1963 adalah harapan rakyat Sarawak pada hari ini agar Sarawak mampu menjadi sebuah kawasan yang maju dan berpendapatan tinggi seperti yang terkandung dalam matlamat,” katanya dalam perutusan sambutan Hari Gawai 2025, hari ini.

Abang Johari berkata, Gawai Dayak harus menjadi titik penyatuan kaum Dayak.

“Oleh itu, saya amat berharap pada musim perayaan ini, dalam suasana keriangan, boleh menjadi platform untuk bertukar-tukar pendapat dalam usaha memperkukuhkan perpaduan dan iltizam kaum Dayak ke arah penglibatan yang lebih bermakna dalam proses transformasi ekonomi negeri ini,” katanya.

Katanya, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan sokongan padu daripada rakan-rakan dalam kabinet Sarawak telah bekerja keras dalam tempoh lapan tahun kebelakangan ini untuk menambah pulangan hasil negeri ini.

“Alhamdulillah, pendapatan Sarawak pada 2024 telah meningkat kepada RM15 bilion daripada sekitar RM6 bilion lapan tahun lalu,” ujarnya.

Dengan hasil yang bertambah ini, katanya lagi, Kerajaan Sarawak dapat melaksanakan program pembangunan dengan lebih yakin dan hebat lagi, khususnya dari segi penyediaan kemudahan infrastruktur jalan raya, jambatan, jalan raya pesisir pantai, Jalan Utama Kedua untuk memendekkan jarak antara Kuching dan Sibu dan jalan-jalan akses di luar bandar.

“Pada 17 Mei lalu, saya merasmikan jambatan Batang Rajang tidak jauh daripada Sarikei untuk memudahkan perjalanan darat dari Sarikei ke Tg. Manis. Ini merupakan jambatan keempat yang telah disiapkan pada tahun ini dalam rancangan besar untuk menaik taraf kemudahan infrastruktur di Sarawak untuk memangkin pertumbuhan ekonomi.

“Pada 25 Mei lalu, jambatan kelima yang menyeberangi Batang Saribas, iaitu Jambatan Saribas No.1 sepanjang 1.55 km dengan kos RM376 juta juga telah dibuka untuk digunakan oleh orang ramai. Jambatan-jambatan yang telah disiapkan sebelum ini ialah Jambatan Marudi, Jepak, Muara Lassa dan Batang Rajang dekat Sarikei.

“Jambatan-jambatan lain yang dijangka akan disiapkan pada tahun ini ialah Jambatan Sungai Lingga, Batang Igan, Batang Lupar I, Sungai Limbang, Sebauh dan Sejingkat.

“Pembinaan jambatan-jambatan ini antara 12 jambatan yang telah dirancang membuktikan komitmen Kerajaan GPS untuk menaik taraf status pengangkutan jalan raya di Sarawak untuk memudahkan pergerakan rakyat, hasil-hasil pertanian dan produk-produk industri,” kata beliau lagi.