Gawai Dayak simbol perpaduan, keharmonian rakyat Sarawak

KUCHING: Gawai Dayak bukan sekadar perayaan menuai hasil padi, sebaliknya simbol perpaduan, keharmonian dan semangat muhibbah dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pada 1 Jun, seluruh masyarakat Dayak bersatu hati merayakan Hari Gawai Dayak sebagai lambang kesyukuran atas hasil tuaian yang melimpah.

Katanya, selain itu mempereratkan hubungan kekeluargaan serta memelihara warisan budaya yang berharga.

“Pengisytiharan Hari Gawai Dayak sebagai perayaan rasmi sejak tahun 1965 merupakan hasil usaha gigih pemimpin terdahulu dalam mengangkat martabat budaya Dayak ke persada yang lebih tinggi.

“Tradisi ‘ngajat’, ruai serta amalan gotong royong dalam persiapan perayaan mencerminkan keindahan budaya dan nilai murni yang harus terus dipeliharakan,” jelasnya dalam perutusan sempena sambutan Hari Gawai Dayak 2025 hari ini.

Sehubungan itu, Tun Wan Junaidi menghargai usaha Kerajaan Sarawak dalam memastikan anak-anak tempatan di pedalaman khususnya, tidak terpinggir dari arus pendidikan berkualiti.

Katanya, pelbagai inisiatif juga dilaksanakan bagi meningkatkan kadar literasi dan prestasi akademik termasuk program intervensi awal serta pembukaan pusat bimbingan pembelajaran.

“Menjadi harapan saya agar ibu bapa terus memberi penekanan kepada pentingnya pendidikan bagi membolehkan anak-anak mencapai kejayaan dan membina masa depan yang lebih cerah,”tambahnya.

Katanya selain itu, usaha memperbaiki prasarana asas seperti jalan raya, jambatan, bekalan air bersih dan kemudahan telekomunikasi turut dipergiatkan.

“Pembinaan 16 jambatan sedang dijalankan sekali gus serta Lebuhraya Pan Borneo (LPB) dan rangkaian jalan pesisir yang kini giat diteruskan,” katanya.