KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyifatkan sambutan Gawai Dayak sebagai jambatan mengeratkan persahabatan, perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat di negeri ini.
Sehubungan itu, beliau mengajak masyarakat meraikan kepelbagaian sambutan itu di bawah semangat ‘Segulai Sejalai’ – Bersama Dalam Perpaduan,”.
“Oleh itu, marilah kita terus menyokong dasar kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang bersifat inklusif dan menekankan pembangunan di luar bandar,” katanya dalam perutusan Gawai Dayak 2025 di sini, hari ini.
Katanya, Sarawak mencapai kemajuan memberangsangkan dalam pembangunan berkat dua faktor utama, kestabilan dan keharmonian kaum dengan lebih 34 kumpulan etnik berbeza dan kepimpinan berwawasan Premier Sarawak.
“Selaras dengan wawasan ini, Kerajaan Sarawak telah memberikan peruntukan yang besar untuk pembangunan luar bandar. Di bawah Bajet 2024, RM5.695 bilion diperuntukkan dan meningkat kepada RM6.8 bilion (Bajet 2025).
Beliau turut berkongsi pencapaian projek jambatan utama di Sarawak dengan lima telah disiapkan iaitu Jambatan Batang Saribas 1 di Pusa, Betong, Jambatan ikonik Bintulu-Jepak, Muara Lassa, Marudi dan Batang Rajang.
Tambahnya, enam lagi jambatan termasuk jambatan sungai terpanjang negara, Batang Lupar 1 dijangka siap menjelang akhir tahun ini.
