Proses permohonan PPRS ketat – Rubiah

ASAJAYA: Kerajaan memperuntukkan hampir RM107 juta kepada Sarawak untuk Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) bagi tahun ini, sebagai usaha memperkukuh kesejahteraan komuniti luar bandar melalui pembinaan dan pembaikan rumah.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang memaklumkan bahawa dana akan digunakan untuk membiayai projek bina baharu dan baik pulih rumah rakyat di seluruh negeri, termasuk kawasan Asajaya.

“Bagi Asajaya, kita telah meluluskan pembinaan 14 rumah baharu dan beberapa permohonan bagi baik pulih kediaman juga telah diluluskan,” katanya ketika ditemui media selepas program penyerahan daging korban di Kampung Asajaya Ulu dan Kampung Asajaya Laut, semalam.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah merasmikan program tersebut.

Rubiah menjelaskan bahawa permohonan menyertai PPRS akan melalui proses tapisan ketat di peringkat daerah, dengan keutamaan diberikan kepada golongan paling memerlukan.

Semua permohonan akan diteliti oleh jawatankuasa khas di peringkat daerah untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar layak mendapat kelulusan, katanya.

“Kita mahu bantuan ini sampai kepada sasaran sebenar,” tegasnya.

Tambah beliau, proses kelulusan dijalankan secara berperingkat dan melalui penilaian yang rapi oleh Pejabat Daerah Asajaya, dengan kerjasama wakil rakyat tempatan.

Biasanya, setiap permohonan akan dirujuk oleh ADUN kepada pejabat daerah, dan siasatan lanjut akan dijalankan di peringkat komuniti sebelum sebarang kelulusan diberikan, ujarnya.

“Di bawah inisiatif ini, kerajaan memperuntukkan RM85,000 bagi setiap rumah bina baharu manakala kerja baik pulih menerima peruntukan sehingga RM20,000.

“Reka bentuk rumah juga diperbaharui, dengan keluasan ditingkatkan kepada 680 kaki persegi serta susun atur fleksibel sama ada secara melintang atau menegak, selain menepati konsep mesra syariah,” katanya.