LUNDU: Projek pembinaan Jambatan Batang Rambungan kini mendahului jadual dengan kemajuan fizikal mencecah 5.84 peratus, berbanding 3.76 peratus yang dijadual.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, peratusan pembangunan pembinaan jambatan itu amat memberangsangkan.
“Projek ini sedang berada di depan 2.08%, berbanding dengan kemajuan bulan lalu yang sedikit lebih tinggi.
“Kami harap kontraktor dapat mengekalkan momentum ini, supaya kemajuan dapat lebih cepat. Kami berharap kemajuan projek ini dapat dilakukan lebih awal tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek hari ini.
Aidel menambah, projek ini merupakan komponen penting dalam Seksyen Sempadi–Lundu bagi Jalan Pesisir Sarawak dan telah disambung semula pada November 2024 oleh kontraktor baharu, Titanium Project Management Sdn. Bhd. selepas pengambilalihan melalui proses re-tender terbuka berikutan prestasi lemah kontraktor terdahulu.
Beliau turut memuji peningkatan ketara dari segi bilangan tenaga kerja serta peralatan di tapak projek termasuk pemasangan tower crane baharu yang diperlukan untuk kerja-kerja konkrit dan struktur bertingkat.
Menurutnya, peningkatan ini mencerminkan komitmen tinggi daripada kontraktor baharu, dan menjadi petunjuk jelas bahawa projek kini berada di bawah pengurusan yang lebih tersusun dan efisien.
