Digitalisasi pacu transformasi Sarawak

LIMBANG: Peralihan Sarawak ke arah digitalisasi menjadi pemangkin dalam memacu wilayah ini mencapai transformasi yang dinamik pada masa hadapan.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, justeru Sarawak bersedia mendepani cabaran ke arah pembelajaran dasar pendidikan digital seiring perubahan untuk mengintegrasikan teknologi terkini dalam proses pembelajaran.

Peralatan digital dan platform dalam talian bukan trend semata-mata tetapi kini sebagai keperluan asas penting dalam pengajaran, katanya pada sidang media selepas merasmikan Pameran Raja Kita, sempena Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ke-17 Peringkat Sarawak 2025, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan bidang berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sarawak merupakan inisiatif awal kepada anak-anak untuk menerokai pembelajaran secara digital.

“Kita memberi pendedahan kepada anak-anak sekolah terhadap semua teknologi yang baharu, oleh sebab itu kita memberi tumpuan kepada pembelajaran STEM,” katanya.

Beliau menegaskan, digitalisasi memerlukan pendidikan berkaitan STEM di samping menumpukan pembelajaran dalam bahasa Inggeris disebabkan kebanyakan berkaitan pembelajaran itu adalah dalam bahasa Inggeris.

Hadir sama Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang, Pengarah Unit Protokol, Istiadat Dan Pengurusan Acara Sarawak, Datu Hamdan Sharbini, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi dan Pengarah Muzium Diraja Malaysia Rohana Husin.

Mengenai Pameran Raja Kita, Sagah memberitahu, ia menjadi salah satu tarikan sempena Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ke-17 Peringkat Sarawak 2025.

Pameran itu bermula hari ini sehingga 15 Jun (Ahad) memaparkan sejarah institusi Yang di-Pertuan Agong, Pertabalan Agong, Majlis Raja-Raja serta Barang-barang Kebesaran Yang di-Pertuan Agong.