Sarawak sasar capai 30 peratus kawasan hutan dilindungi menjelang 2030

BARIO: Kerajaan Sarawak komited memperluaskan kawasan hutan hujan tropika yang kaya dengan biodiversiti di negeri ini sebagai kawasan dilindungi.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, Sarawak kaya dengan biodiversiti, termasuk hutan hujan tropika tertua di dunia dan memikul tanggungjawab besar memastikan kelestarian sumber semula jadi ini.

“Kerajaan Sarawak komited memperkukuh dasar dan strategi pemuliharaan, termasuk memperluaskan kawasan dilindungi seperti Taman Negara Pulong Tau dan kawasan cadangan seperti Pa’ Berang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sambutan Hari Kepelbagaian Biologi Antarabangsa anjuran Sarawak Forestry Corporation, di Dewan Masyarakat Bario, di sini, semalam.

Len Talif berkata, inisiatif ini selari dengan aspirasi Sarawak untuk mencapai sehingga 30 peratus liputan kawasan dilindungi menjelang 2030.

“Kita percaya bahawa perlindungan kawasan biodiversiti bukan sahaja melindungi flora dan fauna, tetapi juga menyumbang kepada kestabilan iklim, keselamatan air dan kesejahteraan masyarakat,” tambahnya.

Selain itu, katanya negeri ini juga memberi perhatian serius kepada pembangunan ekonomi hijau dan eko-pelancongan yang mampan, khususnya di luar bandar seperti Bario.