KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kini dalam usaha membangunkan satu sistem pengurusan bantuan kebajikan yang baharu dan lebih canggih dikenali SPBK 2.0.
Sistem itu bakal menggantikan sistem sedia ada, eBantuan JKM menjelang akhir 2026.
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, pembangunan sistem itu merupakan antara langkah pembaharuan digital yang penting dalam sektor kebajikan, dengan matlamat untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan ketelusan kepada rakyat.
“Sistem lama yang kita guna sekarang berkhidmat lebih 15 tahun. Ia tidak lagi memenuhi keperluan teknologi dan kehendak semasa.
“Sebab itu kita bangunkan SPBK 2.0 yang lebih moden, efisien, dan lebih mudah digunakan, selain memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar layak,” katanya pada Majlis Apresiasi eBantuanJKM di sini hari ini.
Menurut beliau, sistem SPBK 2.0 akan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian, dan akan menggunakan teknologi digital berasaskan keselamatan serta integriti data.
Antara ciri utama sistem ini termasuk penggunaan komputasi awan; notifikasi automatik; Sistem Maklumat Geografi (GIS) serta kecerdasan perniagaan yang mampu mempercepatkan proses permohonan dan kelulusan.
Lebih menarik, sistem baharu ini akan disepadukan dengan beberapa sistem utama kerajaan termasuk PADU; eKasih; iSPEKS; iGFMAS; MyIDENTITY dan MyGDX, bagi memastikan data penerima bantuan lebih tepat dan tidak berlaku pertindihan permohonan.
“Dengan adanya integrasi ini, proses semakan akan menjadi lebih cepat dan teliti. Ini juga akan membantu mengelakkan sebarang bentuk penyelewengan atau penyalahgunaan maklumat,” katanya.
Nancy berkata, kementeriannya yakin pelaksanaan SPBK 2.0 akan mewujudkan satu ekosistem kerja baharu dalam sektor kebajikan yang lebih bersifat digital, progresif dan berteraskan keperluan rakyat.
