KUCHING: Rakyat Sarawak berhak menerima perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf tinggi, menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Katanya, penyediaan penjagaan kesihatan bertaraf tinggi tidak seharusnya ditentukan oleh lokasi geografi seseorang.
Malah katanya, Kerajaan Sarawak beraspirasi untuk menjadikan sistem kesihatan wilayah ini inklusif dan saksama, khususnya bagi komuniti luar bandar dan pedalaman.
“Matlamat kita untuk memastikan setiap rakyat Sarawak, tanpa mengira geografi, mendapat akses kepada penjagaan kesihatan pada tahap tertinggi,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Kongres Saintifik Tahunan ke-51 Kolej Pakar Bedah, Akademi Perubatan Malaysia yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Jelasnya, Sarawak kini sedang mentransformasikan perkhidmatan kesihatannya dengan mengadaptasi teknologi seperti teleperubatan, memperluaskan perkhidmatan pakar ke kawasan pedalaman serta bekerjasama dalam penyelidikan dan pendidikan perubatan.
Beliau menggesa agar inovasi dalam sains perubatan tidak hanya dilihat dari sudut keuntungan komersial semata-mata, tetapi harus memacu penyelesaian yang inklusif demi kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
Katanya, kemajuan dalam perkhidmatan perubatan hari ini dijangka mewujud dua hala tuju.
Pertama, menjurus kepada sumbangan terhadap kemanusiaan, manakala satu lagi menjadi model perniagaan yang hanya memberi manfaat kepada mereka yang mampu. – UKAS
