Kerjasama semua pihak bantu lancarkan projek RADDA

MUKAH: Mukah dilihat berpotensi untuk dibangun sebagai hab keterjaminan makanan menerusi pengukuhan sektor perikanan di bawah pelaksanaan projek Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, inisiatif itu seiring dengan usaha kerajaan untuk merangsang pembangunan luar bandar yang mampan dan menyeluruh di wilayah Delta Rajang.

“RADDA ditubuh untuk mempercepatkan transformasi pembangunan di luar bandar terutamanya Mukah dan Sibu.

“Segala perancangan dan pelaksanaan projek di bawah agensi ini perlu mematuhi prinsip Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta mengutamakan aspek Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG),” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebook rasminya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Mukah berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan Projek RADDA bagi kawasan Parlimen Mukah serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian dan DUN Balingian.

Mesyuarat berkenaan turut menekankan kepentingan menyelaraskan setiap pelaksanaan projek agar terus bergerak mengikut jadual.

Selain itu, kesinambungan inisiatif Premier Sarawak dalam pembangunan pelabuhan tukun tiruan di perairan negeri juga turut disentuh, sebagai antara langkah memperkukuhkan sumber ekonomi nelayan dan kelestarian sumber laut.

Hanifah turut menegaskan kerjasama semua pihak amat penting dalam menjayakan projek RADDA, termasuk perkongsian idea, kepakaran serta maklumat antara agensi terlibat.

“Pelaksanaan projek-projek ini tidak boleh dilakukan secara silo. Kita perlukan penglibatan aktif daripada semua pihak berkepentingan bagi memastikan perancangan jangka panjang dapat dilaksana dengan berkesan,” ujarnya.

Mesyuarat berkenaan turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi dan ADUN Tellian, Royston Valentine.