SAMARAHAN: Masyarakat luar bandar perlu memainkan peranan lebih proaktif membanteras kes penipuan atas talian dan penagih dadah di Sarawak.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, terdapat lebih 2,000 kes penipuan atas talian direkod di Sarawak sepanjang tahun lalu.
Katanya, ini melibatkan kerugian sebanyak RM36 juta dengan pesara, wanita dan pelajar paling ramai menjadi mangsa.
“Manakala, lebih 6,000 penagih direkod di Sarawak pada 2023 terutamanya di kawasan pinggir bandar seperti Kota Samarahan, katanya.
Beliau berkata demikian dalam Program Townhall Discussion “Jom Berambeh Mencegah Jenayah” 2025 anjuran Polis Kontinjen Sarawak dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan Pejabat Daerah Kota Samarahan di Dewan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak, di sini hari ini.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata memaklumkan jenayah indeks di Kota Samarahan meningkat kepada 176 kes setakat Mei 2025 berbanding 112 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Tambahnya, seramai 279 individu ditahan berkaitan dadah di Kota Samarahan dari Januari hingga Mei tahun ini, melibatkan rampasan bernilai lebih RM13,000.
