Peruntukan 14 projek BDDA dan Program RTP Kabong dilulus

KABONG: Peruntukan untuk 14 projek telah diluluskan di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di Kabong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, sebanyak RM20.5 juta peruntukan itu daripada BDDA telah diluluskan bagi melaksanakan sebanyak 11 projek.

“Sebanyak RM970,000 diluluskan melalui peruntukan RTP DUN Kabong bagi melaksanakan tiga projek,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Sambutan Hari Gawai Dayak Peringkat DUN Kabong di Dewan LAKIN, Nyabor, di sini, hari ini.

Antara 11 projek BDDA itu ialah projek lampu jalan dari Roban sehingga Kabong yang sedang dilaksanakan dengan peruntukan RM4 juta, projek lampu solar rumah panjang (RM2 juta), projek naik taraf perparitan di rumah panjang (RM2 juta) yang akan bermula tidak lama lagi.

Selain itu, projek naik taraf jalan bersimen Rumah Belayong, Empait Ulu Roban, Rumah Nangkai Janggat Panjang Atas serta Rumah Tira Brundang Sungai Antu, cadangan pembinaan lima dewan masyarakat dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM12.5 juta.

Manakala, peruntukan RTP pula, sebanyak tiga projek telah diluluskan iaitu membina dan menaik taraf Dewan Serbaguna Kampung Kranggas Baru Roban (RM730,000) serta naik taraf jalan dan jeti Rumah Chaong Tinggir (RM240,000).